Jurang digital merupakan satu masalah yang sering berlaku dalam pembangunan ICT, ia menyebabkan wujudnya
perbezaan besar dalam masyarakat termasuklah perbezaan kemudahan infrastruktur, pemilikan, penggunaan serta nilai
terhadap ICT. Keadaan ini akan menjadikan pembangunan tidak lagi bersifat mapan dan menyeluruh terutamanya di
kalangan belia Orang Asli. Keadaan ini akan menolak mereka untuk terus ketinggalan dari arus pembangunan perdana
negara. Oleh itu, kajian ini cuba menghuraikan fenomena jurang digital yang berlaku di kalangan belia Orang Asli yang
berada di bandar Damansara, iaitu Kampung Orang Asli Damansara Selangor. Kajian ini melibatkan 120 orang belia
yang berumur dari 15 hingga 40 tahun. Hasil kajian ini mendapati bahawa belia Orang Asli berada dalam jurang
digital, bukan kerana jurang digital nilai, namun ia lebih kepada jurang digital pengetahuan, kemahiran dan fizikal
untuk memudahkan mereka akses kepada ICT. Ini menunjukkan bahawa belia Orang Asli tidak ada masalah
untuk menerima pembangunan ICT, cuma faktor utama yang menyebabkan mereka berada dalam jurang digital ialah
masalah ketidaksediaan kemudahan infrastruktur ICT di persekitaran mereka.