MALAYSIAN YOUTH TOURISM MARKET: A LUCRATIVE BUT OVERLOOKED TOURIST SEGMENT

Abstract

Di Malaysia, pelancongan belia bukanlah suatu fenomena baru. Walaupun tidak ramai golongan belia Malaysia melancong ke luar negara, namun golongan ini sememangnya aktif sebagai pelancong domestik dan pengunjung harian. Ramai pakar industri pelancongan berpendapat bahawa pelancongan belia merupakan segmen pasaran pelancong yang paling cepat berkembang dan mempunyai potensi dalam pertumbuhan jangka masa panjang serta memberi impak ekonomi kepada sektor pelancongan domestik. Kertas kerja ini membincangkan hasil penemuan kajian pelancongan belia di Malaysia dengan memfokus kepada senario umum dan hala tuju segmen pelancong belia Malaysia. Kajian ini bertujuan untuk menganalisa karakter, corak, tingkah laku dan kecenderungan pelancong belia Malaysia yang berumur antara 15 hingga 30 tahun yang sedang dan telah melancong dalam negara. Sampel kajian terdiri daripada 1443 sampel pelajar sekolah menengah, pelajar universiti/kolej dan belia bekerjaya menerusi kaji selidik berkumpulan, kaji selidik bersemuka dan kaji selidik dalam talian. Penemuan kajian ini mendedahkan bahawa golongan belia di Malaysia mempunyai motivasi untuk melancong bagi tujuan rekreasi dan percutian. Majoriti daripada mereka merupakan pelajar kolej dan universiti yang masih bujang dan berumur antara 20 hingga 24 tahun serta melancong dengan bajet yang terhad. Hasil analisa faktor menunjukkan bahawa golongan pelancong muda ini lebih cenderung kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan ‘Pelancongan Alternatif ’, ‘Pelancongan Bandar’ dan ‘Pelancongan Sukan’. Hasil kajian ini memberi implikasi kepada industri pelancongan, kerajaan, syarikat-syarikat (perhotelan, agensi pelancongan dan sebagainya) dan sekolah.