Keinginan seks merupakan fitrah manusia dan ia telah menjerumus kepada masalah tingkah laku seksual dalam kalangan remaja. Fenomena ini tidak selari dengan cabaran ke-empat dalam Wawasan 2020 yang suatu ketika dulu merupakan intipati hala tuju negara iaitu mewujudkan sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika. Hasil kajian lepas menunjukkan umur minimum pertama kali melakukan hubungan seks adalah 15 tahun bagi pelajar sekolah. Fenomena seks bebas dalam kalangan remaja telah menjadi punca berlakunya kehamilan luar nikah bawah umur dan punca kepada jenayah pembuangan bayi. Sebanyak 6,656 kes remaja hamil bawah umur dan 120 kes pembuangan bayi telah berlaku sepanjang tahun 2017 hingga Jun 2018. Kesan masalah sosial ini bukan sahaja melibatkan remaja yang melakukannya malahan melibatkan banyak pihak seperti keluarga, masyarakat dan negara. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji latar belakang remaja yang terlibat dengan kehamilan luar nikah, faktor penglibatan remaja terhadap gejala seks bebas sehingga terjadinya kehamilan luar nikah dan sokongan yang diperlukan oleh remaja semasa atau selepas kehamilan luar nikah berlaku. Kajian menggunakan pendekatan kualitatif telah dijalankan melibatkan 8 orang remaja yang sedang mengandung anak luar nikah di Taman Seri Puteri Cheras Selangor. Hasil kajian telah menemukan bahawa latar belakang remaja merupakan penyumbang kepada faktor kehamilan luar nikah berlaku. Selain itu, hubungan sosial remaja juga mempengaruhi penglibatan remaja dengan seks bebas sehingga kehamilan luar nikah berlaku. Penggunaan media sosial dan media massa turut mempunyai pengaruh masing-masing terhadap penglibatan remaja dalam salah laku seks. Pengkaji menyimpulkan bahawa remaja yang terlibat dengan kehamilan luar nikah memerlukan sokongan keluarga bagi meneruskan kehidupan berbanding sokongan sosial.