Penggunaan telefon pintar telah melalui proses transformasi sebagai alat teknologi komunikasi kepada alat memori digital yang dikonseptualasi awal sebagai Memobilia. Penggunaan telefon pintar sebagai Memobilia dalam konteks pendigitalan data dan maklumat telah menyumbang kepada kebergantungan terhadap peranti ini. Telefon pintar dilihat sebagai perwakilan diri pengguna, boleh dibawa ke mana- mana dengan penggunaan pada bila-bila masa dan kini menjadi sebagai alat penyimpanan data pengguna. Kecanggihan ini telah menyebabkan terbentuknya pelbagai jenis data yang bernilai dan boleh diklasifikasi sebagai aset digital dalam abad ke 21 ini. Situasi ini telah memberikan cabaran kepada pengurusan data digital pengguna individu melalui konsep wasiat digital. Justeru, kajian ini bertujuan memahami peranan Memobilia, aset digital dan kesedaran wasiat digital dalam kalangan belia. Penyelidikan kualitatif ini menggunakan kaedah temubual mendalam yang dijalankan ke atas sepuluh orang belia yang dipilih melalui teknik persampelan strata bertujuan. Hasil kajian mendapati empat dimensi Memobilia merangkumi, perwakilan diri, mobiliti, penyimpanan memori dan sambungan Internet. Dimensi ini menyumbang kepada kebergantungan belia terhadap telefon pintar yang turut secara langsung membentuk pelbagai aset digital. Namun, golongan belia hanya mempunyai kesedaran mengenai pengawasan privasi dalam talian tanpa memikirkan kepentingan wasiat digital bagi tujuan pengurusan aset-aset digital ini selepas kematian.