Permainan video pada masa kini telah mengalami pembangunan pesat dengan adanya teknologi web
2.0. Kepesatan tersebut menyebabkan permainan video mudah didapati dan dimainkan melalui telefon pintar dan alat permainan mudah alih (Playstation Portable, Nintendo Ds). Alat ini mudah dibawa ke mana sahaja dan kandungannya juga mudah untuk dimuat turun dari internet. Tidak dinafikan bahawa permainan video boleh memberi pengaruh positif dan negatif terhadap seseorang individu, bergantung kepada apakah yang mendorong individu tersebut untuk bermain dalam satu tempoh tertentu. Objektif kajian ini ialah untuk mengenal pasti kekerapan bermain permainan video dalam kalangan golongan muda, mengukur tahap ketagihan, memeriksa pengaruh faktor kekerapan ke atas ketagihan bermain permainan video, menganalisis pengaruh persepsi realiti ke atas ketagihan bermain, menganalisis pengaruh sikap ke atas ketagihan bermain, dan memeriksa pengaruh norma subjektif ke atas ketagihan bermain. Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini melakukan survei ke atas sampel berumur 13 hingga 25 tahun yang terlibat dengan permainan video. Hasil kajian mendapati dari segi kekerapan bermain, rata-rata responden (90.5%) memperuntukan kurang daripada 4 jam sehari. Faktor sikap, norma subjektif dan kekerapan bermain menyumbang secara signifikan sebanyak 74.6 peratus varians ke atas tingkah laku ketagihan bermain. Manakala faktor persepsi realiti tidak menyumbang secara signifikan. Implikasi kajian menunjukkan faktor kekerapan bermain, sikap minat berlebihan ke atas permainan dan pengaruh persekitaran yang kuat ke atas permainan boleh menyebabkan ketagihan bermain permainan video dalam kalangan golongan muda.