Pada masa kini, penggunaan teknologi media merupakan trend popular remaja milenial dalam kehidupan mereka yang meliputi cara berkomunikasi, mengembangkan minat dan mendapatkan maklumat. Dalam masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga menjadi pilihan remaja ini berkomunikasi bersama rakan-rakan kerana bahan-bahan dan kandungan media ini menggunakan medium bahasa Inggeris dalam penyampaian mereka. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk melihat pengaruh teknologi media terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan remaja milenial. Kajian ini juga menggunakan kaedah kajian kualitatif di mana remaja yang dipilih adalah berdasarkan kriteria-kriteria tertentu untuk di temu bual iaitu haruslah berumur dalam lingkungan 15 hingga 25 tahun, boleh berkomunikasi bahasa Melayu atau Inggeris, mempunyai kemudahan akses kepada internet, mempunyai telefon pintar, serta mahu terlibat secara sukarela dalam sesi temuduga berkelompok. Remaja ini di temu bual menggunakan pendekatan kumpulan fokus di mana dibahagikan mengikut jantina masing-masing. Seramai 10 orang remaja (5 lelaki dan 5 perempuan) yang berumur 18 hingga 23 tahun telah terlibat dalam temu bual bersama pengkaji. Soalan protokol dibina untuk melihat sejauh mana teknologi media mempengaruhi penggunaan bahasa Inggeris oleh golongan milenial. Selain itu juga, kajian ingin melihat perbezaan jantina dalam penggunaan teknologi media dalam penguasaan bahasa Inggeris. Hasil temu bual di analisis menggunakan analisis kandungan untuk membentuk tema-tema penting. Berdasarkan hasil dapatan terdapat beberapa tema yang wujud iaitu (a) tiada penilaian daripada orang lain (non-judgement), (b) jaringan rakan-rakan atas talian di merata dunia, (c) akses internet mudah dan pantas, (d)kekerapan penggunaan, (e) sumber dan kandungan dalam bahasa Inggeris , dan (f) minat dan keseronokan. Selain itu, dapatan kajian menunjukan golongan lelaki cenderung untuk menggunakan teknologi media dalam memenuhi minat dan hobi, manakala remaja perempuan lebih menggunakan teknologi untuk tujuan aktiviti akademik dan penggunaan di sosial media. Kajian ini berpotensi memberi implikasi kepada sektor pendidikan negara iaitu dalam membina kesedaran tentang kepentingan penggunaan teknologi sebagai faktor penggalak kepada remaja untuk menguasai bahasa Inggeris dengan menggunakan medium yang sinonim dengan remaja. Pada masa hadapan, kajian ini boleh dikembangkan lagi dengan berfokus kepada keupayaan penggunaan teknologi media dalam membina kecerdasan bahasa (linguistic intelligence) dalam kalangan remaja, terutamanya kemahiran berbahasa Inggeris.