Media sosial membolehkan individu mewujudkan identiti dalam talian yang memaparkan identiti pilihan mereka. Identiti dalam talian membenarkan individu berinteraksi dengan semua lapisan termasuk orang yang tidak dikenali. Kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa individu mengkonstruk identiti dalam talian yang berbeza untuk memenuhi interaksi sosial yang berbeza. Kajian ini dijalankan untuk menyelidik hubungan antara keupayaan kognitif individu dengan konstruksi identiti dalam talian dalam kalangan pengguna media sosial. Facebook telah dipilih sebagai bahan kajian memandangkan ia mempunyai jumlah pengguna laman sosial terbesar dalam kalangan penuntut di institusi pengajian tinggi serta merupakan media sosial yang paling popular dalam kalangan golongan muda. Tinjauan telah dijalankan terhadap 400 responden yang merupakan pengguna aktif Facebook. Kajian mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara peranan kognitif dengan konstruksi tiga jenis identiti dalam talian. Set keupayaan kognitif yang berbeza digunakan oleh pengguna-pengguna Facebook untuk mengkonstruk identiti dalam talian seperti identiti sebenar, identiti unggul dan identiti samaran. Justeru, kajian ini mengesahkan peranan kognitif dalam mempengaruhi konstruksi identiti dalam talian bagi ketiga-tiga identiti yang dikenal pasti.