GANGGUAN SEKSUAL DI MEDIA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA PEREMPUAN: SATU TINJAUAN

Abstract

Kajian dilakukan adalah berkaitan dengan gangguan seksual di media sosial memandangkan masalah ini berlaku dalam kalangan pengguna media sosial kini. Jika dilihat, golongan wanita dan remaja perempuan cenderung menjadi mangsa gangguan seksual di media sosial. Oleh itu, kajian ini berfokus kepada remaja perempuan yang aktif menggunakan media sosial di mana pengkaji ingin mengetahui pengalaman remaja perempuan tentang gangguan seksual di media sosial dan tahap kesedaran mengenai gangguan seksual serta pengetahuan tentang kesan gangguan seksual kepada individu. Seramai 100 orang responden yang dipilih dan terlibat dalam kajian ini. Kajian ini juga menggunakan persampelan bertujuan dengan menetapkan kriteria-kriteria tertentu iaitu (a) remaja perempuan berumur 12 sehinggan 24 tahun, (b) mempunyai akaun sosial media yang aktif (WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram, Wechat, Bigo Live, TikTok, dan Tinder), dan (c) menggunakan sosial media lebih daripada 3 jam sehari. Soal selidik diedarkan secara atas talian di media sosial menggunakan pautan khas. Data kajian dianalisis menggunakan analisis statistik deskriptif peratusan. Hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan remaja perempuan mempunyai pengalaman gangguan seksual di media sosial, namun mereka mempunyai pengetahuan dan kesedaran tentang gangguan seksual dan kesannya terhadap diri mereka. Walaupun begitu, masih ramai tidak tahu mengenai aspek perundangan dan aduan dan ianya perlu penambahbaikan. Oleh itu, program kesedaran dan pemantauan bagi golongan remaja perempuan ini boleh dilaksanakan pelbagai pihak sama ada sekolah, institusi pendidikan tinggi dan ibu bapa bagi mengelakkan gangguan seksual ini terus berlaku di media sosial.