ISU DAN CABARAN BELIA SEBAGAI PENJAGA WARGA EMAS DALAM SISTEM PENJAGAAN TIDAK FORMAL

Abstract

Lazimnya, isu berkaitan dengan penjagaan selalu dikaitkan dengan golongan warga emas. Penjagaan warga emas dibahagikan kepada dua bentuk iaitu penjagaan formal yang melibatkan penjagaan dalam institusi manakala penjagaan tidak formal merujuk kepada penjagaan oleh ahli keluarga. Kini, bilangan nisbah bagi penjagaan tidak formal adalah nisbah 1:1, iaitu seorang warga emas untuk dijaga oleh seorang penjaga dan turut didapati bahawa golongan belia merupakan antara penjaga kepada warga emas. Oleh itu,kajian ini dilaksanakan bagi mengenalpasti isu dan cabaran belia dalam aspek  keperluan asas, jenis bantuan, masalah kesihatan warga emas dan  isu -isu yang melibatkan penjagaan warga emas secara tidak formal . Kajian ini telah melibatkan seramai 60 responden yang berumur 18 – 30 tahun dan merupakan penjaga kepada warga emas serta terdiri daripada peserta Modul My-Elderly-Care-Skills di bawah Fakulti Perubatan UKM. Kajian ini turut menggunakan kaedah kuantitatif dengan menggunakan borang soal selidik dan dianalisis mengunakan kaedah deskriptif. Hasil dapatan kajian menunjukan bahawa 71.67 peratus belia yang menjaga warga emas menyatakan bahawa isu dan cabaran utama dalam menjaga warga emas adalah sikap cerewet warga emas dan sukar untuk memahami perasaan dan kehendak warga emas. Implikasi kajian ini ialah menerangkan bahawa isu dan cabaran dalam menjaga warga emas perlu diperhatikan dan diberikan keutamaan berikutan peningkatan kepada populasi warga emas dan peningkatan jumlah warga emas yang memerlukan kebergantungan kepada penjaga.