Pembangunan kompetensi meliputi aspek pengetahuan, sikap dan kemahiran melakukan sesuatu pekerjaan secara efektif dan efisien seterusnya dapat membantu belia membina standard tertentu dalam dirinya dalam menyampaikan khidmat bakti menjadi orang penting dalam keluarga, komuniti dan negara. Kajian ini bertujuan untuk meneroka aspek pembinaan kompetensi yang diperolehi oleh peserta Agropreneur Muda. Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah penyelidikan kualitatif kajian kes. Pengkaji menggunakan Program Agropreneur Muda (PAM) sebagai konteks bagi pengumpulan data kajian dan seramai tiga (3) orang informan telah ditemubual sebagai informan kajian. Selain kaedah temu bual, pengkaji telah menggunakan beberapa dokumen untuk menyokong dapatan kajian seperti dokumen laporan dan nota lapangan pengkaji. Penganalisaan data telah dibuat menggunakan teknik constant comparative iaitu analisis data sehingga mencapai titik ketepuan dengan membentuk kod, kategori dan tema bagi menjawab persoalan kajian. Hasil kajian mendapati (PAM) menyumbang kepada pembangunan kompetensi dalam kalangan Agropreneur Muda meliputi empat (4) elemen iaitu peningkatan pengetahuan usahawan dalam perniagaan, memperkasakan kemahiran, mengukuhkan imej kendiri serta mewujudkan jaringan perniagaan yang berkesan. Secara kesimpulannya, komponen pembangunan kompetensi yang terbentuk menjadi pemangkin kejayaan Agropreneur Muda dalam elemen Pembangunan Belia Positif (PYD) serta berupaya menjana pendapatan dan mewujudkan peluang kebolehpasaran pekerjaan yang tinggi khususnya dalam bidang usahawan agro. Justeru itu pengkaji berharap pemerkasaan program pembangunan kompetensi usahawan agro ini disemarakkan dengan mengambilkira aspirasi dan keperluan semasa Agropreneur Muda dalam membina kompetensi yang lebih berdaya saing dan berdaya tahan.
Download Full Article
Enter your details to download full article