Bagi menganalisis pengaruh gaya pemantauan media ibu bapa muda terhadap tingkah laku agresif kanak-kanak yang terdedah dengan gajet, kajian ini menggariskan empat objektif iaitu pertama, mengenal pasti hubungan antara pemantauan media ibu bapa dengan tingkah laku agresif kanak- kanak, kedua, menganalisis pengaruh pemantauan media terhad ke atas tingkah laku agresif kanak- kanak, ketiga, menguji pengaruh pemantauan media aktif ke atas tingkah laku agresif kanak-kanak dan keempat, menilai pengaruh pemantauan media penggunaan bersama ke atas tingkah laku agresif kanak-kanak. Bagi mencapai kesemua objektif, kaedah survei telah dijalankan ke atas ibu bapa muda yang mempunyai anak berumur tiga hingga enam tahun. Hasil kajian mendapati terdapat hubungan negatif yang signifikan antara pemantauan media ibu bapa dengan tingkah laku agresif kanak-kanak yang terdedah dengan gajet. Pemantauan media terhad pula menunjukkan pengaruh yang signifikan terhadap tingkah laku agresif kanak-kanak, manakala pemantauan media aktif dan penggunaan bersama tidak mempengaruhi tingkah laku agresif yang dikaji. Implikasi kajian kepada teori ialah pemantauan media ibu bapa masih signifikan dalam mengawal penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak, manakala implikasi kajian terhadap ibu bapa ialah perlunya pemantauan penggunaan gajet terhadap anak-anak dengan menggunakan pendekatan pemantauan media terhad.