Kajian Penilaian Pembangunan Belia Positif (8C) di Malaysia merupakan salah satu daripada enam mekanisme penilaian Dasar Belia Malaysia (DBM). Melalui DBM, belia Malaysia didefinisikan sebagai individu yang berumur antara 15 hingga 30 tahun. Komponen pembangunan belia positif merangkumi pembangunan aset individu dan aset ekologi yang mempengaruhi secara langsung terhadap pengukuhan pembangunan belia. Sehubungan dengan itu kajian ini telah dilaksanakan bagi membangunkan indikator-indikator bagi mengukur pencapaian pembangunan belia positif 8C; mengenalpasti kandungan instrumen kajian bagi mengukur pencapaian pembangunan belia positif 8C; mengenalpasti mekanisme pengukuran bagi pencapaian pembangunan belia positif 8C; mengenalpasti kaedah pemantauan pencapaian pembangunan belia positif 8C; dan membentuk strategi/ inisiatif bagi mencapai matlamat pembangunan belia positif 8C. Nilai Alpha bagi kelapan-lapan domain melebihi 0.7 membuktikan konstruk dapat menjawab objektif kajian yang disasarkan. Secara keseluruhan, konstruk contribution (sumbangan) mencatatkan nilai alpha tertinggi iaitu 0.904 dan konstruk confidence (keyakinan) mencatatkan nilai alpha terendah iaitu 0.764. Pencapaian skor lapan domain terdiri daripada contribution (sumbangan) dengan nilai skor 71.26 pada tahap sederhana; caring (penyayang) dengan nilai skor 70.50 pada tahap sederhana; character (perwatakan) dengan nilai skor 68.87 pada tahap sederhana; competitive (kompetitif) dengan nilai skor 65.40 pada tahap sederhana; cooperation (kerjasama) dengan nilai skor 64.77 pada tahap sederhana; confidence (keyakinan) dengan nilai skor 63.26 pada tahap sederhana; consideration (bertimbang rasa) dengan nilai skor 63.02 pada tahap sederhana dan competent (kompeten) dengan nilai skor 58.29 pada tahap sederhana. Daripada lapan domain pembangunan belia positif di Malaysia, domain contribution (sumbangan) mencatatkan skor tertinggi iaitu 71.26 (sederhana) dan domain competent (kompeten) mencatatkan skor terendah iaitu 58.29 (kurang memuaskan). Secara keseluruhan, pencapaian skor berada pada tahap sederhana dengan nilai skor 63.94. Dapatan kajian ini dapat melaporkan secara keseluruhan pencapaian pembangunan belia positif di Malaysia melalui lapan domain dan 18 indikator berkaitan pembangunan belia positif dan memberi input kepada 10 kumpulan pelaksana pembangunan belia di Malaysia bagi merangka strategi bagi meningkatkan pencapaian pembangunan belia positif di Malaysia.