Lumba haram adalah satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar dan luar bandar. Kegiatan ini tanpa mengira keadaan trafik dan diadakan pada waktu tengah malam. Lumba haram menjadi polemik dalam masyarakat kerana membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain dan nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, Mat Motor telah didefinisikan sebagai “individu yang membonceng motosikal di jalan raya sama ada secara konvoi, melulu atau bahaya bagi mencetus tindakbalas daripada penonton”. Malahan, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana memberi motivasi kepada pelumba haram itu terus melakukan kegiatan tersebut. Artikel ini memberi tumpuan kepada profil sosio-demografi Mat Motor di Pulau Pinang. Objektif artikel ini adalah untuk mengkaji profil kehidupan realiti sosial berdasarkan perspektif tulen mereka. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui pendekatan fenomenologi. Peserta kajian terdiri dari 20 orang yang dipilih melalui persampelan bertujuan. Data dikutip melalui temu bual secara mendalam. Data kajian ini dianalisis menggunakan analisa tematik. Dapatan kajian mendapati mereka terlibat dalam aktiviti ini dalam usia yang muda. Hasil kajian menunjukkan tempoh masa aktiviti ini adalah selama tiga tahun dan menamatkan gejala ini apabila mereka mendirikan rumah tangga. Justeru, kajian ini diharap dapat memberi substantif ilmu lain seperti bidang ilmu sosiologi, psikologi, mengembangkan teori-teori kriminologi yang sedia ada. Perbincangan rangka kerja teoritikal dapat dikembangkan dan hasil kajian ini boleh memberi rujukan kepada penyelidik dari segi kaedah dan kerja-kerja penyelidikan baru dapat dibina dan direka pada masa akan datang.