Di Malaysia, keusahawanan belia semakin berkembang, dibincangkan dan ditonjolkan dalam media. Namun, pengetahuan sistematik dan mendalam tentang keusahawanan belia masih berkurangan. Penulis berpendapat pengetahuan tentang keusahawanan belia perlu dipertingkatkan agar dapat memberi pengetahuan kepada pihak kerajaan dan membantu kerajaan menggariskan strategi peningkatan program keusahawanan belia yang efektif, dan selanjutnya mengembangkan pembangunan sosioekonomi negara. Pengetahuan itu berguna kepada masyarakat terutamanya pihak belia, dalam mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan belia, dan juga meningkatkan penglibatan belia dalam keusahawanan. Para belia diharapkan juga mempunyai minat untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai satu kerjaya. Untuk memperoleh pengetahuan itu, penulis telah menjalankan satu kajian exploratari tentang sifat keusahawanan belia in Malaysia pada tahun 2009 dengan meninjau ciri-ciri personal, sosial dan perniagaan kelompok tersebut. Hasil kajian dari tinjauan ke atas 531 belia wanita dan lelaki di Lembah Kelang telah menonjolkan beberapa persamaan dalam kalangan responden belia itu dari segi sifat keusahawanan, masalah dan cabaran yang dihadapi.