Generasi Y dan Z dikenali sebagai generasi millenials dan generasi dot.com. Mereka juga digelar ‘technosavy’ dan ‘digital natives.’ Generasi ini dibesarkan dalam persekitaran hidup yang banyak bergantung kepada aplikasi teknologi yang semakin cepat berubah dan canggih. Generasi Y dan Z sinonim dengan kefasihan bahasa komputer, aktif dengan permainan video, cekap menggunakan gajet elektronik dan mahir menggunakan internet. Dari sudut komunikasi digital, generasi ini begitu mengharapkan kepantasan maklum balas apabila berinteraksi. Ini berikutan daripada kebiasaan hidup mereka yang selalu inginkan kepantasan dalam komunikasi serta sikap kurang sabar dan mudah bosan. Mereka juga dikatakan lebih mudah berkomunikasi dengan teknologi berbanding dengan manusia. Dari sudut personaliti, Generasi Y dan Z dinyatakan mempunyai tret personaliti seperti mempunyai keyakinan diri dan konsep kendiri yang tinggi, mementingkan kehidupan yang seimbang, mementingkan keluarga, mempunyai komitmen yang tinggi, suka menyahut cabaran dan sukakan persaingan. Menariknya, mereka juga seakan-akan memiliki pemikiran yang kadangkala sukar dijangka atau difahami oleh orang lain. Mereka adalah kumpulan yang unik dan menjadi agak misteri dalam masyarakat. Generasi Y dan Generasi Z ini juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai isu kehidupan. Antaranya, mereka adalah kumpulan generasi yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19. Justeru, kertas kerja ini merupakan suatu hasil penelitian dan sorotan kajian berkaitan isu kehidupan dan impak COVID-19 dalam kalangan Generasi Y dan Generasi Z di Malaysia.