Analisis Kadar Pulangan Pendidikan TVET Mengikut Jantina dalam Kalangan Graduan ILKBS

Abstract

Kerajaan Malaysia telah melabur secara konsisten dalam pembangunan modal insan untuk mencapai status negara maju, berdaya saing dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025. Selaras dengan usaha ini, kerajaan telah memperuntukkan RM 6.7 bilion di bawah tujuh (7) kementerian utama yang melaksanakan pelbagai inisiatif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pemerkasaan pendidikan TVET. Oleh itu, kajian ini mengkaji kadar pulangan pendidikan bagi graduan lelaki dan graduan wanita di Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) Malaysia. Secara khusus, objektif kajian ini adalah untuk menganggarkan kadar pulangan pendidikan untuk graduan ILKBS dan membandingkan kadar pulangan pendidikan kepada graduan ILKBS mengikut jantina. Kajian ini menggunakan Model Persekolahan Mincer (1974) untuk menganggarkan kadar pulangan pelaburan pendidikan dalam kalangan graduan lelaki dan graduan wanita ILKBS Malaysia. Penyelidikan ini menggunakan tinjauan kuantitatif yang melibatkan seramai 3517 orang graduan ILKBS pada Majlis Konvokesyen kali ke-11 IKBN/IKTBN. Data dikumpulkan dan dianalisis menggunakan Kaedah Penganggaran Kuasa Dua Terkecil (OLS). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kadar pulangan persendirian pendidikan bagi graduan lelaki  dan graduan wanita  masing-masing ialah 15.1 peratus dan 18.8 peratus. Selanjutnya, kajian ini juga mendapati bahawa purata pulangan persendirian pendidikan untuk graduan lelaki dan graduan wanita pada peringkat diploma masing-masing ialah 16.9 peratus dan 17.9 peratus. Hasil kajian memberi petunjuk bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan graduan TVET akan menghasilkan pulangan yang lebih besar pada masa akan datang. Kajian ini juga menunjukkan bahawa kemahiran graduan ILKBS mempunyai nilai yang tinggi serta memenuhi kehendak industri seperti jaminan pekerjaan. Pulangan pendidikan tinggi ini juga membantu meningkatkan sumber pendapatan individu dan membaiki tahap sosial dan ekonomi yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.