ABSTRAK
Isu pemilikan rumah sentiasa dibincangkan dalam pelbagai ruangan sama ada ruangan akhbar, media eletronik, media sosial, perbahasan parlimen dan sebagainya. Pemilikan rumah telah dijadikan salah satu agenda utama kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri dalam setiap rancangan pembangunan sosial. Hal ini adalah kerana rumah merupakan keperluan asas dalam kehidupan masyarakat. Sejak merdeka hingga tahun 2021, lima (5) dasar perumahan telah diperkenalkan di Malaysia dan setiap dasar tersebut berkait rapat dengan keadaan sosial, politik dan ekonomi negara. Perubahan sosial, politik dan ekonomi terkini serta impak pandemik COVID-19 telah menimbulkan ketidakpastian dalam pilihan pemilikan rumah dalam kalangan belia Malaysia, terutamanya yang melibatkan dasar dan program perumahan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Pengumpulan data kajian dilaksanakan dengan menggunakan kaedah kuantitatif iaitu melalui pengedaran borang soal selidik secara tinjauan dalam talian dengan mensasarkan golongan belia berumur 18 hingga 40 tahun. Sejumlah 4,116 responden kajian menyertai tinjauan ini dan pengkaji turut membuat hebahan kajian kepada belia melalui pangkalan data e-Belia, media sosial rasmi IYRES dan e-mel kepada pihak yang telah dikenal pasti. Data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan kaedah Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) melalui kaedah statistikal deskriptif dan Microsoft Excel digunakan bagi menjana Indeks Kemampuan Pemilikan Rumah untuk mendapatkan anggaran harga rumah yang mampu dimiliki dan nisbah gadai janji kepada pendapatan (Mortgage-to-Income ratio, MIR). Dapatan kajian menunjukkan ketidakmampuan pemilikan rumah adalah disebabkan oleh pendapatan yang rendah dalam kalangan belia termasuklah dalam kalangan graduan universiti. Perbelanjaan atau kos sara hidup yang tinggi ditambah pula dengan kenaikan harga rumah yang mendadak menyukarkan lagi akses pemilikan rumah. Masih ramai belia yang menumpang rumah keluarga kerana tidak mampu membayar sewa yang tinggi apatah lagi menyimpan wang untuk membeli rumah pertama. Kurangnya pengetahuan tentang proses pemilikan rumah serta literasi kewangan yang rendah makin menyukarkan perancangan para belia. Secara kesimpulannya, beberapa intervensi yang boleh dipertimbangkan pihak penggubal dasar dan program berdasarkan tiga (3) kategori belia, iaitu belia beraspirasi dan mampu memiliki rumah, belia berpendapatan sederhana dan masih belum mampu memiliki rumah, dan belia yang perpendapatan rendah.