PEMBANGUNAN DAN MAKLUM BALAS BELIA TERHADAP APLIKASI MUDAH ALIH UNTUK KESEDARAN DAN PENCEGAHAN LEPTOSPIROSIS

Abstract

Leptospirosis merupakan penyakit zoonosis yang disebabkan oleh bakteria Leptospira, namun penyakit ini masih kurang disedari oleh masyarakat. Oleh itu, kajian ini bertujuan membangunkan aplikasi mudah alih e-Leptospirosis sebagai platform pendidikan kesihatan untuk meningkatkan pengetahuan tentang penyakit ini. Metodologi Agile digunakan dalam pembangunan aplikasi ini, yang melibatkan fasa perancangan, analisis, reka bentuk, pembangunan, dan pengujian untuk memastikan fleksibiliti dan penambahbaikan berterusan. Aplikasi ini mengandungi maklumat mengenai Leptospirosis, termasuk simptom, pencegahan, dan rawatan, serta kuiz interaktif untuk menguji pemahaman pengguna. Ujian kebolehgunaan yang melibatkan 37 pengguna belia menunjukkan aplikasi ini mudah digunakan, dengan min kebolehgunaan 4.74, kemudahan penggunaan 4.85, reka bentuk 4.57, dan kepuasan pengguna 4.27. Kesimpulannya, e-Leptospirosis berpotensi menjadi alat yang efektif dalam meningkatkan kesedaran tentang Leptospirosis, dengan penambahbaikan seperti penambahan pilihan dwibahasa dan servis pelanggan dapat meningkatkan lagi keberkesanan aplikasi ini di masa hadapan. Implikasi kajian ini adalah aplikasi e-Leptospirosis dapat menyokong usaha kesihatan awam dalam mengurangkan risiko penularan dan komplikasi penyakit melalui pengesanan awal dan penyebaran maklumat yang tepat. Aplikasi ini juga dapat menjadi alat pelengkap dalam program kesedaran kesihatan oleh pihak berkuasa, dengan mempromosikan penglibatan komuniti dan kolaborasi yang lebih baik antara masyarakat dan agensi kesihatan untuk menangani penyakit zoonosis secara menyeluruh.