PERSEPSI PENGUNDI MUDA (UNDI 18) TERHADAP ISU DAN DASAR KERAJAAN TERENGGANU

Abstract

Pilihan raya yang merupakan salah satu elemen yang penting dalam sistem amalan demokrasi berparlimen bertindak sebagai pembahagian kuasa kepada rakyat dalam menentukan sesebuah pemerintahan sama ada pada peringkat negeri mahupun negara. Kemenangan pada pilihan raya menentukan sesebuah parti politik untuk membentuk kerajaan yang akan melunaskan segala manifesto yang dijanjikan kepada rakyat sebelum pilihan raya tersebut. Oleh itu, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui persepsi pengundi terhadap pemerintah terutamanya mereka di kawasan DUN Manir, Kuala Terengganu. Dalam mencapai objektif kajian, seramai 100 orang responden berumur 18 hingga 20 tahun diberikan borang soal selidik. Usaha ini adalah dalam mendapatkan data primer, manakala bagi mendapatkan data sekunder, rujukan terhadap artikel, jurnal, kajian ilmiah serta pembacaan bahan bertulis telah dilakukan. Data primer yang diperoleh dianalisis menggunakan perisian SPSS dan diterjemahkan melalui bentuk jadual dan rajah. Hasil kajian mendapati media elektronik dan media sosial adalah merupakan medium yang paling banyak digunakan oleh responden dalam mendapatkan maklumat mengenai Kerajaan Negeri. Selain itu, responden juga turut bersetuju bahawa Kerajaan Negeri bertanggungjawab dan menjalankan amanah yang diberikan dengan baik, serta setiap program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri memberikan impak yang positif kepada rakyat. Justeru, kajian ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada kajian seterusnya serta dapat memberi manfaat kepada pihak yang terlibat terutamanya mereka yang berperanan dalam membuat dasar kerajaan di peringkat negeri.